Saudagar Mimpi

Dimaklumkan saya berpindah ke http://www.saudagarmimpi.com.

Jemput ke sana.

Blog ini kekal tetapi tidak akan dikemas kini lagi.

Terima kasih.

Syarafuddin Sulaiman

Kita ini tamu,
Yang dibenar menumpang.

Kita ini tamu,
Yang lupa perlu teruskan perjalanan.

Kita ini tetamu.

Moga-moga tidak dicerca Tuan.

Bertahun-tahun yang lalu, saya berjanji dengan diri. Saya enggan marah-marah dan sedih lagi. Apa yang berlaku itu pengalaman dan itulah yang mencorak siapa saya.

Namun jalan hidup kita, siapa yang benar-benar tahu? Kita menduga, kita meneka, awan hitam itu kita sangka sudah pergi jauh. Kita lupa, bumi mana
tidak ditimpa hujan.

Kemudian satu lagi kematian. Dan satu lagi. Juga kemalangan. Dan ditambah kemalangan.

Sebagai hamba, kita mahu redha. Mahu sabar. Kita mahu beriman. Mahu jadi makhluk tuhan yang setiap saat percaya hikmah dan setiap ketika faham Tuhan itu sentiasa tahu.

Cuma, kita ini manusia. Kita merasa. Sakit, pedih, hilang. Kita merasa sunyi. Kita teringat, kita mengenang. Bukan saja-saja. Itu bahagian hidup kita. Biar pun lepas dan berlalu, suatu masa dulu watak-watak itu mengisi hidup kita. Apabila kita kembali ke persekitaran sama, kita jadi canggung. Watak sama, cerita sama, tak berulang. Apa yang dulu kadang-kadang ulangan bebelan membosankan, kini jadi sesalan.

Malam-malam jadi sesi renungan. Banyak waktu, panjang dan sia-sia saja. Mengenang semata-mata. Tidak berbuat apa. Pun begitu, diam-diam saja tak selamanya salah. Ada waktu kita buru-buru. Kita mahu buat segala, baiki segala, jadi ‘baik’ serta-merta dan akhirnya itu semua sindrom membela diri semata. Respon sementara. Sementara ingat, sementara rasa bersalah.

Lama-lama kita jadi seperti yang lain. Yang lupa. Yang menang cakap, kalah berbuat.

Banyak kali, dalam hidup saya, menulis itu sentiasa mengubat. Tidak semestinya betul, tidak semestinya tepat. Kerap dibaca-baca kembali, yang tinggal cuma kesal dan hairan. Bagaimana saya begitu ‘bodoh’ waktu itu?

Hakikatnya, kita ini, selama mengikut diri semata, memang berperilaku jahil. Kita marahkan orang tetapi yang disakiti diri sendiri. Marahkan ibu bapa, tidak makan. Yang lapar itu kita.

Jadi, menulis pada saya selalunya peribadi. Ia menjana wang, meluas pengaruh, menyebar idea, tapi ia sentiasa apa yang dekat dengan hati saya. Ia kesimpulan hati saya. Peleraian awan-awan idea yang berselirat. Selama saya berfikir dan berfikir, membaca dan menelaah, tanpa menulis, saya bingung. Tulisan membimbing, menarik saya ke satu jalan. Belum tentu jalan lurus. Cuma satu denai. Kerja mencari jalan lurus itu saya susuli kemudian.

Ibu mahu solat. Beliau di atas sajadah, menyarung telekung. Kaki terpijak kain telekung, tersandung. Jatuh seperti jatuh biasa orang tersandung.

Tidak terhantuk apa-apa. Bukan kuat berdentum.

Sedar-sedar, mata kelip-kelip seperti tersentap. Adik yang kelima buntu, meluru ke rumah ibu saudara.

Tidak lama. Diajar mengucap, cuma mata memandang. Kaki mula sejuk dan akhirnya mata yang tadi berkilat kini jadi kusam.

Beliau pergi menemui Tuhan waktu beliau bersedia menghadap Tuhan. Ini yang selamanya indah dan mengesankan.

Adik yang seorang di rumah sewaktu ibu pergi, dalam perjalanan pulang kerja. Semua kata kelajuannya biasa-biasa sahaja. Jalan lurus, dua hala tanpa simpang.

Tiba-tiba, belakang lori, keluar motokar, laju, membuat pusingan u di tengah-tengah jalan lurus itu. Adik tidak sempat buat apa-apa. Motor merempuh sisi kereta dan kepala terhantuk kuat.

Jadual Tuhan, adik selamat. Namun wajahnya berjahit. Ingatan belum pulih.

Saya tidak tahu rancangan Tuhan. Doa dan usaha kami, adik kembali sembuh. Keputusan SPM tidak lama lagi. Dia dan kakaknya sudah sedia ke menara gading.

Dua hari sebelum itu saya kemalangan. Sungguh pun saya selamanya kosong emosi, saya sebenarnya bersyukur. Hanya beberapa hari sebelum itu, hati berdebar kuat. Saya rasa mahu mati. Saya tidak bersedia untuk ini. Dosa saya banyak amat.

Saya tidak rapat dengan beliau. Tapi kehilangan moyang saudara sehari selepas adik kemalangan, masih mengesankan. Apalagi rumah beliau cuma 50 meter dari rumah kami.

Ada banyak pengajaran daripada semua ini. Hidup tidak segan berceramah apabila kita sudi mendengar. Saya tidak bercadang menulis semua itu kali ini. Ia berat.

Tulisan yang pendek juga tidak bererti ia ringan. Banyak hal yang berat-berat, ungkapannya pendek-pendek. Banyak pula gosip liar dan kata kosong, ceritanya berjela-jela.

Cukuplah saya berdoa: Moga saudara juga dibimbing Tuhan, diberi barang seorang dua yang benar-benar faham dan membantu serta paling berat, mampu beramal dengan sabar.

Amin. Ya rabb al-‘alamin.

Banyak kali saya fikir dalam hati: Abaikan sahaja semua ini. Berapa ramai yang prihatin benar? Dan berapa ramai pula yang hati-hati dalam meraikan perasaan manusia dan hak sendiri?

Menulis hal-hal berat begini banyak kalinya merugikan. Silap kata, hilang teman. Lebih digerunkan, hilang wang.

Tulisan ini sepatutnya bermula lain. Ia patut bermula dengan: Tuhan telah lama direbutkan. Dan tuhan juga telah lama cuba diwakili.

Kemudian saya akan jelaskan rasional saya untuk tidak menyokong penggunaan Allah dalam urusan bukan Islam. Saya menulis tentang istilah Allah yang hanya dikenali mutlak bagi umat Islam di Malaysia, logik silap hujah ‘orang Kristian Arab pun guna Allah’ yang silap kerana logik itu benar di Arab dan bukan di Malaysia, logik silap yang menggambarkan seolah-olah wujud kekeliruan antara istilah Allah dan tuhan, kehairanan betapa mereka yang mahukan istilah Allah dalam Bahasa Melayu itu kebanyakan masa selesa ‘berInggeris’ dan paling penting, akuan-akuan rasmi pakar Kristian yang kepercayaan Islam dan Kristian itu berbeza.

Dengan sikap prihatin akan semua pihak, saya sejak semalam lagi berkira-kira apakah bijak strategi yang diambil pihak gereja di Malaysia bagi menggunakan nama Allah. Jawapannya seperti datang dalam cara paling dahsyat.

Semua ini dengan idea penghujahan mahkamah diguna pakai bagi semua keadaan di Malaysia dan tidak unik kepada masyarakat Sabah dan Sarawak yang katanya sudah berkurun menggunakan Allah dalam masyarakat Islam dan Kristian. Tanggapan dan kesan terhadap istilah tidak sama. Ia unik mengikut masyarakat. Begitu pendapat saya.

Tidak mahu si pendemontrasi enak lapang membaca tulisan ini, saya bercadang mengkritik pendekatan sidang akhbar dan demo yang begitu ketinggalan zaman dan sebelah pihak. Saya juga mahu menjentik minda supaya berfikir mengenai alasan di sebalik ketegaran mereka yang merokok Marlboro dan Dunhill ataupun paling culas ke masjid dalam mempertahankankan ‘hak agama’ ini. Mereka yang sama juga tidak pula ikut demonstrasi apabila anak-anak Islam pesta arak demi tahun baru. Sikap pilih kasih begini menyebalkan.

Semuanya aman-aman dan rasional belaka hingga saya dengar beberapa gereja dibakar. Bakar rumah ibadat biasanya hanya berlaku dalam berita luar negara ataupun cerita kosong kedai kopi.

Namun sekarang, ia benar-benar berlaku.

Antara sejarah hitam agama di Malaysia adalah tragedi Natrah dan Memali. Ayah Pin dan Rasul Kahar patut bersyukur kerana tiada yang mati kerana mereka.

Dalam masyarakat majmuk yang keutuhannya pada banyak masa mampu terganggu, cakap-cakap, tulisan-tulisan apalagi tindakan-tindakan ‘ikut rasa hati sahaja’ langsung membunuh. Tiga gereja dibakar dan perkara tidak akan jadi seperti dahulu lagi.

Kau bakar gereja dan yang malunya berbillion umat Islam. Sama juga apabila hanya kamu mahukan Allah, yang jahatnya berbillion umat Kristian. Tindak tanduk tunjuk kuasa ini tidak matang. Tidak matang kerana di satu pihak mahu tunjuk dia resah dan mampu menyusahkan serta mengganas. Pihak yang lain pula awalnya mahu membuktikan mereka mampu berhujah dan kekal mahu apa yang mereka hendak walaupun pihak yang lebih ramai enggan.

Pada saat ini, cakap-cakap saya ini mungkin berakhir kosong sahaja. Melayu yang terkenal lembut hatinya mungkin akur begitu sahaja penggunaan Allah kerana malu akan perbuatan Melayu yang lain. Bukan Melayu Kristian yang vokal makin mendesak dan seperti manusia biasa lain mula mengungkit-ungkit kesilapan sekumpulan kecil pembakar itu sebagai bukti ‘kebenaran’ pihak pendakwa.

Ataupun, yang ini saya doakan sungguh-sungguh moga dijauhkan tuhan, dua-dua jadi keras kepala dan naik tocang, bara yang diam-diam saja menyala langsung membakar dan menyambar. Melayu totok memang terkenal kerana hebatnya menahan diri dan betapa dahsyat apabila kegeraman itu meletus. Kaum lain juga mampu jadi sama ganas apabila didesak.

Paling saya inginkan adalah perbincangan yang elok dan santun. Pihak yang meminta kemukakan hujah dan pihak yang menentang kemukakan juga hujah. Tidak perlu babitkan media. Agama sudah habis aset bagi dilelong dan dijual. Cukup-cukuplah mati semua benda demi produk lebih laris dan poket dua tiga orang ikut kembung.

Bukankah orang berbalah lebih teruja dibaca daripada berita orang berbaik?

Namun ini jika pihak berkenaan mendengar. Jabatan agama nampaknya sukar mahu diharap kerana sedangkan orang Islam yang berbeza pendapat pun mahu digodam, apalagi yang tidak sama kepercayaan. Boleh jadi juga mereka diam membisu kerana biasanya jabatan agama ini hanya seperti rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Komen pun umpama melepaskan batok di tangga.

Yang saya percayakan hanyalah NGO-NGO Islam. Itupun jika mereka tidak sibuk tambah ahli dan musyawarah sahaja🙂

Di pihak saya, saya alukan komen dan perbincangan. Cuma tolong berfikir jelas-jelas sebelum berkata. Dan jangan paksakan orang lain menerima nilai yang jika disuruh awak melakukannya, awak juga tak mahu mengiyakannya.

Saya menulis ini kerana rindu.

Jika tuan puan antara mereka yang berkali-kali melawat laman ini dan merasa kecewa kerana ia tidak dikemas kini, saya mohon maaf.

Empat bulan ini saya jadi sibuk menjelajah sisi baru dalam hidup sambil mengemas kini hidup sedia ada. Syukur kepada tuhan, kini saya punya peluang rezeki melalui kerja suntingan. Dunia suntingan ini kompleks dan saya berbesar hati ikut memeriahkannya. Sudah jadi editor, baru saya faham titik bengik dunia penerbitan dan alam yang lebih luas daripada sekadar menulis.

Jika penulis itu tuan, editor itu raja- Stephen King.

Saya seronok menyertai Tim PTS. Mereka syarikat yang relatifnya muda tetapi punya cita-cita besar. PTS bersungguh-sungguh melatih editor-editornya menjadi efektif. Saya seronok bahkan malu dengan komitmen tenaga pengajar daripada pengerusi sehingga editor-editor lebih senior dalam latihan.

Saudara pasti lebih menyesal mengenangkan hal yang tidak dibuat berbanding kesalahan yang dilakukan- rasanya ini daripada Oscar Wilde

Beberapa bulan lepas pula, saya ikut serta dalam Ekspedisi Kayak Rentas Sempadan PD-Rupat. Ini ekspedisi besar melibatkan lebih 100 peserta. Saya terharu dengan budi baik teman yang sanggup memandu ulang-alik KL-PD sepanjang latihan dan jasa keluarganya yang banyak membantu.

Ekspedisi ini indah. Satu, sebab kayak itu indah🙂 Dua, ada banyak peristiwa yang tidak dapat dibeli wang seperti ditemani seharian pembantu YB Dumai, naik bot besar dengan kelajuan roller-coaster di sungai dan kenal rapat penggerak Persatuan Kayak Malaysia. Tiga, saya lebih kenal Negri Sembilan dan susur-galur pemerintahnya. Selebihnya usah diceritakan kerana kelak tuan puan cemburu pula. Contohnya bagaimana kami diiring 7 Innova sepanjang di Dumai dan jalan tanah merah pun dikawal polis supaya perjalanan kami tidak terhenti😉

Kemudian di PermataPintar Negara. Seribu pengalaman, sejuta satu pengajaran.

Cukuplah tentang saya, bukan?

Seperti di awal kata, saya menulis ini kerana rindu.

Saya rindu kepada teman yang pergi jauh, tiba-tiba sahaja. Rindu ini benar dan sungguh pun saya senyum dan ketawa, ingatan ini banyak menumpahkan air mata.

Saya fikir kita ini, ataupun sebetulnya saya, terlalu pentingkan diri. Apabila ada kematian, ada kehilangan, kita menangis bukan kerana memikirkan mereka yang pergi. Tetapi lebih kepada memujuk dan mengasihani diri sendiri.

Ingatan ini tiada sinar tetapi ia penting. Sebab mati adalah alasan paling agung. Maha dahsyat. Kalau ia tidak menggugah, tidak menyentuh, maka sungguh-sungguh, hati kita memang sudah mati.

Sebab itu saya menulis ini. Saya rindu kepada dia. Saya rindu nasihat jujur ikhlas. Saya rindu orang yang kenal saya namun menerima saya seadanya. Dan paling penting, saya tidak mahu lupa saya rindu, rasa pedih ini.

Supaya saat yang ada pada saya tidak, tidak akan saya wenang-wenang bazirkan lagi. Supaya kelak apabila saya jumpa dia, saya mampu senyum, mampu kata,

“Sebab cik puan, hidup saya tidak umpama kerang-kerangan di tepi pantai sahaja.”

Ini asalnya lelucon saya kepada dia. Tetapi jadi semacam ingatan, teguran pula.

Maaf, ya. Sekali lagi. Sudahlah jarang menulis, tulisannya sedih-sedih pula. Saya doakan tuan puan sentiasa dirahmati dan diberi petunjuk oleh tuhan.

Amin.

Terkadang mlm mlm begini,

hati rasa sunyi

hanya kenalan

tanpa teman

di sisi

 

tuhan ada di sini

kawan ada di sana

pilih antara dua

jika mahu bahagia

 

kita dan tuhan itu

berlawan-lawan

kita dan setan itu

berkasih-kasihan

 

kasih tuhan

pujuk setan

mana satu kan menang?


Yang tinggal dalam hati aku
Adalah rasa rindu
Padamu cik puan

Senyum tawa
Teguran ingatan
Kekuatan keteguhan

Sungguh
Aku sunyi cik puan
Dalam keramaian
Aku kosong cik puan
Dalam keriuhan

Cik puan
Orang sebaikmu
Kenapa mesti selalu pergi
Lebih awal daripadaku?

Categories

September 2016
M T W T F S S
« Jul    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930