Posted by: syarafuddinsulaiman on: March 10, 2010
Bertahun-tahun yang lalu, saya berjanji dengan diri. Saya enggan marah-marah dan sedih lagi. Apa yang berlaku itu pengalaman dan itulah yang mencorak siapa saya.
Namun jalan hidup kita, siapa yang benar-benar tahu? Kita menduga, kita meneka, awan hitam itu kita sangka sudah pergi jauh. Kita lupa, bumi mana
tidak ditimpa hujan.
Kemudian satu lagi kematian. Dan satu lagi. Juga kemalangan. Dan ditambah kemalangan.
Sebagai hamba, kita mahu redha. Mahu sabar. Kita mahu beriman. Mahu jadi makhluk tuhan yang setiap saat percaya hikmah dan setiap ketika faham Tuhan itu sentiasa tahu.
Cuma, kita ini manusia. Kita merasa. Sakit, pedih, hilang. Kita merasa sunyi. Kita teringat, kita mengenang. Bukan saja-saja. Itu bahagian hidup kita. Biar pun lepas dan berlalu, suatu masa dulu watak-watak itu mengisi hidup kita. Apabila kita kembali ke persekitaran sama, kita jadi canggung. Watak sama, cerita sama, tak berulang. Apa yang dulu kadang-kadang ulangan bebelan membosankan, kini jadi sesalan.
Malam-malam jadi sesi renungan. Banyak waktu, panjang dan sia-sia saja. Mengenang semata-mata. Tidak berbuat apa. Pun begitu, diam-diam saja tak selamanya salah. Ada waktu kita buru-buru. Kita mahu buat segala, baiki segala, jadi ‘baik’ serta-merta dan akhirnya itu semua sindrom membela diri semata. Respon sementara. Sementara ingat, sementara rasa bersalah.
Lama-lama kita jadi seperti yang lain. Yang lupa. Yang menang cakap, kalah berbuat.
…
Banyak kali, dalam hidup saya, menulis itu sentiasa mengubat. Tidak semestinya betul, tidak semestinya tepat. Kerap dibaca-baca kembali, yang tinggal cuma kesal dan hairan. Bagaimana saya begitu ‘bodoh’ waktu itu?
Hakikatnya, kita ini, selama mengikut diri semata, memang berperilaku jahil. Kita marahkan orang tetapi yang disakiti diri sendiri. Marahkan ibu bapa, tidak makan. Yang lapar itu kita.
Jadi, menulis pada saya selalunya peribadi. Ia menjana wang, meluas pengaruh, menyebar idea, tapi ia sentiasa apa yang dekat dengan hati saya. Ia kesimpulan hati saya. Peleraian awan-awan idea yang berselirat. Selama saya berfikir dan berfikir, membaca dan menelaah, tanpa menulis, saya bingung. Tulisan membimbing, menarik saya ke satu jalan. Belum tentu jalan lurus. Cuma satu denai. Kerja mencari jalan lurus itu saya susuli kemudian.
…
Ibu mahu solat. Beliau di atas sajadah, menyarung telekung. Kaki terpijak kain telekung, tersandung. Jatuh seperti jatuh biasa orang tersandung.
Tidak terhantuk apa-apa. Bukan kuat berdentum.
Sedar-sedar, mata kelip-kelip seperti tersentap. Adik yang kelima buntu, meluru ke rumah ibu saudara.
Tidak lama. Diajar mengucap, cuma mata memandang. Kaki mula sejuk dan akhirnya mata yang tadi berkilat kini jadi kusam.
Beliau pergi menemui Tuhan waktu beliau bersedia menghadap Tuhan. Ini yang selamanya indah dan mengesankan.
…
Adik yang seorang di rumah sewaktu ibu pergi, dalam perjalanan pulang kerja. Semua kata kelajuannya biasa-biasa sahaja. Jalan lurus, dua hala tanpa simpang.
Tiba-tiba, belakang lori, keluar motokar, laju, membuat pusingan u di tengah-tengah jalan lurus itu. Adik tidak sempat buat apa-apa. Motor merempuh sisi kereta dan kepala terhantuk kuat.
Jadual Tuhan, adik selamat. Namun wajahnya berjahit. Ingatan belum pulih.
Saya tidak tahu rancangan Tuhan. Doa dan usaha kami, adik kembali sembuh. Keputusan SPM tidak lama lagi. Dia dan kakaknya sudah sedia ke menara gading.
…
Dua hari sebelum itu saya kemalangan. Sungguh pun saya selamanya kosong emosi, saya sebenarnya bersyukur. Hanya beberapa hari sebelum itu, hati berdebar kuat. Saya rasa mahu mati. Saya tidak bersedia untuk ini. Dosa saya banyak amat.
…
Saya tidak rapat dengan beliau. Tapi kehilangan moyang saudara sehari selepas adik kemalangan, masih mengesankan. Apalagi rumah beliau cuma 50 meter dari rumah kami.
…
Ada banyak pengajaran daripada semua ini. Hidup tidak segan berceramah apabila kita sudi mendengar. Saya tidak bercadang menulis semua itu kali ini. Ia berat.
Tulisan yang pendek juga tidak bererti ia ringan. Banyak hal yang berat-berat, ungkapannya pendek-pendek. Banyak pula gosip liar dan kata kosong, ceritanya berjela-jela.
Cukuplah saya berdoa: Moga saudara juga dibimbing Tuhan, diberi barang seorang dua yang benar-benar faham dan membantu serta paling berat, mampu beramal dengan sabar.
Amin. Ya rabb al-’alamin.
Tuan. Semoga tabah. Semoga ALLAH permudahkan urusan tuan dan keluarga tuan. Mulia sungguh cara ibunda tuan di panggil tuan. Jangan lah tuan bersedih hati kerana kita yang datang akan pergi juga.
Saat itu datang bertimpa-timpa, kita rasa insaf dan kerdil. Syukur, Tuhan masih sayang pada kita (kata orang). Tapi saya rasa betul. Kalau tidak, kita tak akan rasa memerlukan, bukan.
Tabah, abg din. Saya tahu, tiada kata boleh jadi pengubat. Tp itu je yg mampu sy katakan.
Wipe away your tears, think well of your Lord, and chase away your worries by remembering the blessings that Allah has bestowed upon you.
May you be blessed!
Allah sayangkan anda..be strong
1 | Iskandar
March 10, 2010 at 9:28 am
Assalamualaikum Tuan Syarafuddin yang saya kasihi,
Hati saya tersentuh pilu membaca tulisan tuan ini.